KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menyiasat pegawai penyiasat dan penyelia terlibat dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan siasatan sedang dijalankan termasuk isu ketidakpatuhan prosedur siasatan.
“Ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kematian Zara Qairina sedang disiasat,“ jelas Hamzah.
Beliau tidak menolak kemungkinan siasatan turut membabitkan penyelia seperti Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan Ketua Polis Daerah (OCPD).
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar mengumumkan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai terbabit.
Pasukan Task Force Bukit Aman mendapati wujud ketidakpatuhan prosedur siasatan dalam kes tersebut.
Siasatan Task Force bermula pada 11 Ogos lalu dan mendapati pegawai penyiasat gagal memohon bedah siasat jenazah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini mengarahkan penggalian semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat.
AGC berpendapat siasatan lanjut diperlukan bagi memastikan keseluruhan prosedur dilaksanakan dengan teliti.
Jenazah Zara Qairina digali semula pada 9 Ogos di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, Sabah.
Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat sebelum dikebumikan semula.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di hospital selepas ditemui tidak sedar di longkang berhampiran asrama sekolahnya. - Bernama