• 2025-07-24 05:39 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat atas kesabaran dan sokongan yang diberikan ketika usaha memperbaiki negara dilaksanakan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), turut mengulangi permohonan maaf Anwar semalam kerana kelewatan menunaikan sebahagian janji sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Sejak hari pertama memimpin negara pada penghujung 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti untuk memperbaiki keadaan kewangan negara demi kesejahteraan rakyat,“ katanya.

Beliau menegaskan bahawa apabila keadaan kewangan negara beransur pulih, bantuan kepada rakyat diberikan secara berperingkat untuk meringankan beban dalam ketidaktentuan ekonomi global.

Tunku Nashrul juga menyentuh mengenai pendedahan wartawan Bradley Hope dan Tom Wright bahawa Malaysia mengalami kerugian USD18 bilion akibat Skandal 1MDB, yang merupakan ‘kerosakan’ diwarisi Kerajaan MADANI daripada pentadbiran terdahulu.

Walaupun terdapat kritikan daripada segelintir pihak, termasuk ketua pembangkang yang menggunakan media sosial untuk memperlekeh usaha kerajaan, Anwar tetap tidak berganjak.

Kerajaan terus komited membantu rakyat, termasuk dengan penurunan harga RON95 daripada RM2.05 ke RM1.99 seliter dan bantuan RM100 sekali beri kepada semua golongan dewasa di Malaysia.

“Penjimatan kos RON95 dapat membantu meringankan beban rakyat, dan ini kali pertama semua rakyat tanpa mengira status sosial menerima bantuan sempena Bulan Kebangsaan,“ jelas Tunku Nashrul.

Bantuan yang diumumkan akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua pada 31 Ogos.

Inisiatif ini diambil kira berdasarkan keupayaan fiskal negara dan sebagai tambahan kepada Belanjawan 2025.

Tunku Nashrul turut menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dengan menyatakan bahawa bantuan yang diumumkan bukan sebahagian daripada Belanjawan 2026.

“Belanjawan 2026 hanya boleh diguna pakai pada 2026, sebab itu namanya Belanjawan 2026,“ katanya.

Kerajaan MADANI akan terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat sekiranya tiada gangguan atau salah faham yang mengganggu fokus pentadbiran.

Pejabat Perdana Menteri juga bersedia memberikan taklimat sekiranya diperlukan oleh mana-mana pemimpin. – Bernama