KUALA LUMPUR: Kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) hendaklah diharamkan dalam kes kekejaman massa sehingga ia boleh dimansuhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata proses membuat keputusan UNSC memerlukan sokongan lebih meluas daripada anggota tetap serta tidak tetap dan ia tertakluk kepada ratifikasi oleh Perhimpunan Agung melalui majoriti mudah.
Anwar berkata kuasa veto telah melumpuhkan majlis keselamatan itu manakala ketiadaan wakil dari wilayah seperti Afrika dan Latin Amerika mencerminkan era yang sudah berlalu.
“Berbanding menjadi wahana untuk bertindak, Majlis Keselamatan seringkali menjadi alat kebuntuan.
“Kita menyaksikan akibatnya di tempat-tempat seperti Gaza, dalam penganiayaan terhadap etnik Rohingya dan dalam peperangan di Ukraine,“ katanya dalam ucaptama beliau di Forum Tindakan Bersama (CAF) 2024 di sini hari ini.
Anwar berkata dunia kini berada di persimpangan yang kritikal dalam memperjuangkan keadilan sejagat sambil menekankan bahawa tindakan kejam Israel terhadap rakyat Palestin telah menjejaskan asas peraturan global.
“... jenayah perang, hukuman secara kolektif dan genosid adalah pencabulan secara terang-terangan kepada norma-norma undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,“ katanya.
Beliau berkata seperti yang dianjurkan oleh Malaysia di PBB, dunia perlu mengambil langkah segera yang berani bermula dengan embargo senjata ke atas Israel.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata tindakan kejam Israel memerlukan tindakan yang lebih tegas termasuk konsensus dunia ke arah menggantung atau menyingkirkan negara itu daripada PBB.
Pembaharuan UNSC adalah antara perkara penting yang dicadangkan oleh Anwar yang perlu disegerakan ke arah dunia yang lebih aman dan saksama.
Bidang lain ialah kewangan antarabangsa, sistem perdagangan antarabangsa serta kewangan dan keadilan iklim.
Semasa perbahasan UNSC di New York pada September, Malaysia dengan lantang merayu agar kuasa veto dihadkan dalam Majlis Keselamatan sambil menekankan bahawa penggunaannya secara tidak terkawal telah menghalang usaha perdamaian terutama dalam kes Palestin.