LUMUT: Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak membuka tirai hari ini di Lumut Waterfront dengan pelbagai acara dan aktiviti interaktif yang menarik melibatkan penyertaan kementerian, agensi Persekutuan serta kerajaan negeri untuk dimanfaatkan oleh pengunjung.
Menurut Buku Maklumat PMR 2025 Perak, acara dijadualkan bermula 9 pagi menerusi “Prelude Program Jelajah Nyalaan Bara Api bersama Cikgu Saarani”, yang akan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad sekali gus menandakan pembukaan rasmi program selama tiga hari itu.
Selari dengan tema PMR 2025 Perak “Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI”, penglibatan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi antara sorotan utama menerusi segmen Pelita Budiman dan TVET Tahfiz @ UPSI, yang mengetengahkan inovasi pendidikan serta pembangunan kemahiran untuk pelajar tahfiz.
Pengisian bersifat ilmiah dan interaktif turut ditampilkan, antaranya Pocket Talk STEM oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengetengahkan pendekatan pembelajaran matematik secara inkuiri bertajuk “Meneroka Nilai Pi (π)”.
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah Program Perisai Buat Wanita anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) Perak yang dijadualkan berlangsung pada sebelah petang, khusus bagi memperkasa golongan wanita.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Suasana pada sebelah malam pertama PMR 2025 Perak juga akan diserikan dengan sesi MADANI Berselawat.
PMR 2025 Perak di Lumut Waterfront berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad, program dijadualkan berakhir pada 6 petang. Reruai perkhidmatan kerajaan pula akan beroperasi setiap hari hingga 6 petang sahaja.
Perak merupakan lokasi kedua bagi penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju.
PMR 2025 dilaksanakan dalam dua skala iaitu besar dan kecil dengan edisi pertama berskala besar telah berlangsung di Majlis Perbandaran Tawau, Sabah dari 9 hingga 11 Mei lepas.