KUALA LUMPUR: Polis giat mengesan suspek insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu sebagaimana tular di Facebook yang dipercayai berlaku di Dataran Merdeka, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata lanjutan siasatan daripada video tular itu, pihaknya telah membuat satu laporan maklumat pertama (FIR).
“Satu laporan maklumat pertama telah dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan mereka yang terlibat sedang dalam tindakan pihak polis,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Semalam, Sulizmie Affendy dilaporkan berkata polis sedang menyiasat kejadian terbabit dan semakan mendapati tiada laporan diterima setakat ini.
Video tular berdurasi 23 saat itu menunjukkan beberapa lelaki terlibat dalam pergelutan dengan ada yang membaling topi keledar sambil disaksikan sekumpulan penunggang serta pembonceng motosikal.