Your Title

KUALA LUMPUR: Orang ramai terutama bakal jemaah haji diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pakej visa mujamalah atau furada, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata dalam keterujaan rakyat Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, wujud syarikat atau agensi pelancongan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap mereka.

“Kira-kira tiga bulan dari sekarang, musim haji bagi tahun 1446 Hijrah atau 2025 Masihi akan bermula. Dalam tempoh ini, pihak polis percaya akan ada cubaan penipuan membabitkan visa haji mujamalah atau furada seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Berdasarkan rekod, 44 kes penipuan haji dan umrah disiasat sepanjang 2024 melibatkan nilai kerugian RM890,810.53, manakala bagi 2025 sehingga 2 Feb, 17 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM364,620 sepanjang lima minggu sahaja,” katanya pada sidang media JSJK di sini hari ini.

Ramli berkata mujamalah atau furada adalah visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan hanya diberikan kepada kumpulan tertentu.

“Visa ini bagaimanapun dikeluarkan hanya untuk orang atau kumpulan tertentu, dan tidak berkaitan dengan kuota haji rasmi yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

“Namun visa seperti ini amat terhad, mahal dan hanya boleh dilakukan ketika saat-saat akhir kerana ia tertakluk kepada keputusan Arab Saudi. Dia (kerajaan Arab Saudi) pun tengok keadaan di sana dan sebagainya, baru dia beri pertimbangan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ketidakpastian ini membuka peluang kepada sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan daripada mereka yang terdesak mendapatkan visa haji.

“Maka untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, individu yang ingin mendapatkan visa mujamalah atau furada ini adalah dinasihatkan untuk berurusan dengan agensi yang dipercayai sahaja seperti Lembaga Tabung Haji,” katanya.

Ramli turut memberi amaran bahawa sebarang janji manis bahawa visa akan diberikan setibanya di Arab Saudi adalah palsu semata-mata.