• 2025-09-08 03:27 PM

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas dadah jenis syabu seberat 80 kilogram bernilai hampir RM2.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada 2 September lepas.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata serbuan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Tinggi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dari jam 10.30 malam hingga 4 pagi.

Pasukan serbuan menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 34 hingga 43 tahun.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor merampas dadah disyaki syabu seberat 80,330 gram yang dibungkus dalam 76 bungkusan minuman teh Cina.

Nilai anggaran rampasan dadah tersebut adalah RM2,570,560 menurut kenyataan Ab Rahaman dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan kawasan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor transit sebelum dadah diedarkan ke pasaran luar negara terutamanya di Riau dan Pulau Batam, Indonesia.

Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April 2024 dan jumlah syabu yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 401,650 penagih jika terlepas ke pasaran.

Polis turut menyita empat kereta bernilai RM341,000, dua motosikal bernilai RM40,000, wang tunai RM4,000, mata wang rupiah Indonesia berjumlah Rp14 juta serta barang kemas bernilai RM21,497.93.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta berkaitan adalah hampir RM3 juta dengan ketiga-tiga suspek kini direman hingga esok untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak melebihi 15 kali.

Wanita warga Indonesia itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk pengesahan ketulenan dokumen perjalanan.

Hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis metamfetamina dengan semakan rekod menunjukkan lelaki tempatan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

Wanita tempatan yang ditahan memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah menurut kenyataan polis.

Setakat 1 Januari hingga 3 September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor menahan 17,242 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

Rampasan bagi tempoh tersebut dianggarkan seberat 1.47 tan dadah selain dadah dalam bentuk cecair sebanyak 6,921.45 liter bernilai anggaran RM125.88 juta.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik 012-2087222. – Bernama