GUA MUSANG: Sebanyak 8,333 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan polis menerusi Op Selamat 21/2024 Tahun Baharu Cina (TBC), yang dijalankan di Kelantan bermula 8 Feb lepas hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata daripada jumlah itu, lebih 50 peratus iaitu 4,956 saman yang dikenakan kerana memandu melebihi had laju ditetapkan.

“Kesalahan lain yang turut direkodkan ialah tidak mempunyai lesen memandu (405), tidak mempunyai cukai jalan (400) dan tidak patuh tanda lalu lintas (386),” katanya selepas menyantuni pengguna jalan raya pada Program Keberkesanan Op Selamat 21/2024, sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Bagaimanapun Muhamad Zaki berkata jumlah kes kemalangan di negeri itu, mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah kemalangan yang mengakibatkan kecederaan mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 17 kes berbanding 30 kes tahun lepas, tetapi bagi kemalangan sehingga menyebabkan maut pula berlaku sedikit peningkatan iaitu lapan kes berbanding empat kes sahaja tahun lepas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata beliau turut mengadakan lawatan secara mengejut di balai-balai polis untuk memberi nasihat serta teguran, sekiranya terdapat kelemahan dalam kalangan anggota.

“Tiada kompromi bagi kes salah laku yang berat membabitkan anggota polis. Kita akan ambil tindakan termasuk tahan kerja, jika didakwa di mahkamah anggota terbabit akan terus digantung kerja dan melalui proses seterusnya,” katanya.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image