KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan tiga lagi suspek dalam kejadian langgar lari melibatkan dua kenderaan yang dipandu secara melulu di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata setakat ini polis telah menahan lima suspek kejadian berkenaan dan meminta mereka yang masih bebas menyerah diri.

“Lima lelaki berkenaan berumur lingkungan 20-an hingga 30-an, ditahan di sekitar Banting, Selangor pada hari ini dan didapati mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azry Akmar berkata dalam kejadian pada 6.18 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan ternampak dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios dipandu secara melalu keluar dari tempat letak kereta di sebuah bangunan dan melalui jalan di hadapan pusat hiburan berkenaan.

“Dua buah kenderaan itu melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan dua orang mengalami kecederaan dan kesemua mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurut Azry Akmar, permohonan reman kesemua suspek akan dilakukan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

Semalam, tular video berdurasi 48 saat menerusi satu akaun Facebook memaparkan dua kenderaan dilihat dengan sengaja merempuh sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan.

Seorang lelaki dilihat tercampak selepas dirempuh Toyota Hilux manakala sebuah lagi kenderaan turut merempuh lebih ramai individu yang berkumpul di kawasan berkenaan.