KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang bekas jururawat yang dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Che Nurul Izzah Che Salim, 36, pada pukul 9.27 malam tadi di Balai Polis Damansara.

Beliau berkata wanita itu sudah bercerai serta mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan, berusia 11 dan sembilan tahun.

Shahrulnizam berkata Che Nurul Izzah dipercayai telah keluar dari rumah beralamat No 2 Jalan Kesum 24/37 Seksyen 24, Shah Alam pada 16 Feb.

“Kakaknya memaklumkan adiknya keluar rumah bersama anak-anaknya pada 16 Feb dan tidak tahu adiknya tinggal di mana. Che Nurul Izzah pernah berkhidmat sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan dilaporkan telah berhenti kerja pada (Khamis) 29 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrulnizam berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa, boleh salurkan di balai polis berhampiran atau menghubungi Insp Hafizzul Mohd Noor di talian 016-2236804 atau 03-77222222 bagi membantu siasatan.