KUALA LUMPUR: Polis hari ini memperoleh perintah untuk menahan reman selama tujuh hari dua suspek kes samun bersenjata membabitkan sebuah rumah di Semenyih dekat sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata seorang daripada suspek yang merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berusia 24 tahun telah menyerah diri tengah hari semalam manakala seorang lagi, iaitu orang awam, menyerah diri pada awal pagi tadi.

“Setakat ini disahkan seramai empat suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta hadir ke IPD Kajang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan tiga anggota PGA ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata ke atas sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih.

Tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun di Kem Batalion 19 PGA Cheras di sini pada 12.20 tengah malam semalam dan mereka direman hingga 7 Ogos ini manakala seorang lagi lelaki berusia 24 tahun, yang juga anggota PGA batalion sama, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 1 tengah hari semalam

Seorang lagi suspek iaitu orang awam menyerah diri pada 1.40 pagi tadi, juga di IPD Kajang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).