• 2024-12-11 05:05 PM

JOHOR BAHRU: Polis merampas pelbagai barangan jenama tiruan bernilai RM1.41 juta dalam serbuan di sebuah premis di Kompleks Austin Perdana di sini, semalam.

Ketua Polis Johor CP Datuk M Kumar berkata serbuan dilakukan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama wakil cap dagang Global Trade Sheild Sdn Bhd pada 10.30 pagi.

Beliau berkata sindiket dipercayai menjual barangan jenama tiruan secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial sejak empat tahun lepas.

‘’Hasil pemeriksaan di hadapan lima individu terdiri daripada pekerja dan penjaga premis itu mendapati pelbagai pakaian, beg, kasut, topi, tali pinggang dan dompet berjenama tiruan disimpan di dalam premis tersebut.

‘’Kesemuanya dipercayai diimport dari luar negara, dengan setiap barangan seperti beg, baju dan dompet dijual pada harga RM350 hingga RM500,‘’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata barangan berjenama tiruan yang dirampas dalam serbuan itu antaranya 110 helai baju dan 31 pasang kasut Louis Vuitton, 163 helai baju Balenciaga, 40 helai baju dan lapan selipar Gucci serta empat beg Chanel.

Kumar dalam pada itu berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menjual pada waktu tengah hari dan malam serta sentiasa berjaga-jaga dengan kehadiran pihak berkuasa.

“Sindiket juga sentiasa bersedia untuk melarikan diri sekiranya mengesan mana-mana pihak mencurigakan,‘’ katanya.

Beliau berkata kes telah dirujuk kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 102 (1) (C) Akta Cap Dagangan 2019.