KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.88 juta hasil serbuan ke atas sebuah unit kondominium di ibu negara, yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan.

Dalam serbuan dilakukan Rabu lepas itu, polis turut menahan tiga lelaki berusia 30 hingga 33 tahun, serta merampas kira-kira 154 kilogram (kg) dadah terdiri daripada Methamphetamine 111.42kg, kanabis (29.06kg), pil ekstasi (7.51kg) dan kristal MDMA (6.07kg).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata jumlah dadah itu, dianggarkan boleh digunakan kira-kira 660,500 penagih sekiranya terlepas di pasaran.

“Suspek pertama disyaki penjaga stor, ditahan dalam sebuah kereta Proton Saga di tempat parkir sebuah kondominium, yang turut ditemukan sebuah beg sandang. Pemeriksaan beg sandang itu menemukan bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 182.9 gram,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Khaw berkata penahanan suspek berkenaan, membawa ke sebuah unit di kondominium yang sama, disyaki dijadikan stor penyimpanan dadah dan suspek kedua dipercayai runner ditemukan.

“Pemeriksaan di dalam rumah menemui dadah Methamphetamine sebanyak 111.23kg, kanabis (29.06kg), pil ekstasi (7.51kg) dan kristal MDMA (6.07kg),” katanya.

Khaw berkata suspek ketiga juga dipercayai runner, ditahan di sebuah restoran, di sini disyaki ahli sindiket sama.

Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 18 Sept, bagi membantu siasatan.

“Kita juga siasat dalam semua aspek termasuk rangkaian kongsi gelap, kerana mereka ini mempunyai simbol tatu yang sama di bahagian belakang badan,” katanya.

Khaw berkata ketiga-tiga suspek mempunyai keseluruhan 13 rekod jenayah lampau dan hasil saringan awal polis, didapati negatif dadah.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan JSJN menyita aset dianggarkan bernilai RM55,750, iaitu wang tunai RM750 dan kereta jenis Nissan Almera serta Proton Saga bernilai RM55,000,” katanya.

Beliau berkata JSJN percaya dalang utama sindiket masih bebas dan akan menjalankan siasatan lanjut untuk mencari saki baki sindiket bagi menumpaskan keseluruhan rangkaian.