• 2025-08-04 02:57 PM

MELAKA: Polis berjaya merampas pelbagai kayu gaharu dan peralatan bernilai lebih RM106 juta dalam operasi bersepadu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dan sebuah rumah di Ayer Keroh Heights.

Operasi itu dijalankan selepas menerima maklumat daripada pasukan Biro Jenayah Hidupan Liar Bukit Aman.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua premis menjalankan aktiviti pemilikan, penyimpanan, pemprosesan, dan urus niaga kayu gaharu secara haram.

“Kayu gaharu yang ditemui disyaki spesies aquilaria malaccensis atau agarwood yang dikawal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984,“ katanya.

Antara barangan yang dirampas termasuk 566 guni kayu karas (12,178 kg), 277 guni serbuk kayu karas (5,783 kg), dan 10 kotak kayu karas (100 kg).

Turut disita ialah kayu karas jenis damar minyak (2,585.2 kg), kayu pelbagai spesies (43.84 meter padu), serta mesin pemprosesan kayu.

Dua lelaki warga Myanmar tanpa dokumen sah dan seorang wanita tempatan berusia 55 tahun ditahan.

“Premis ini dipercayai beroperasi lebih setahun tanpa lesen dan hasilnya dijual untuk pasaran tempatan serta eksport,“ jelas Dzulkhairi.

Operasi ini melibatkan kerjasama Jabatan Perhutanan, LHDN, KPDN, dan agensi lain.

Kesalahan yang dikesan termasuk pelanggaran Akta Imigresen dan Akta Perhutanan. – Bernama