SIBU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar bandar ini dengan rampasan dadah pelbagai jenis dan sitaan harta yang keseluruhannya bernilai lebih RM8.5 juta dalam serbuan di tiga lokasi di sini pada 12 dan 13 Jun.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu itu melibatkan serbuan di sebuah premis perniagaan di Pusat Pedada dan dua buah rumah teres di Lorong Permai Jaya membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 52 tahun dan wanita berusia 44 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 7,086.7 gram (g), ketamin 2,078.9g serta 2,022.6g pil Erimin 5 yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM532,934.40,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata dadah yang dirampas itu adalah untuk edaran di pasaran tempatan dan rampasan berkenaan merupakan satu kejayaan besar dalam usaha mengekang penularan bahan terlarang di negeri ini.
Selain dadah, polis turut menyita pelbagai aset termasuk wang tunai RM5.16 juta, empat jongkong emas, dua utas rantai emas, tiga utas jam tangan jenama Rolex serta tiga buah kenderaan mewah dipercayai milik sindiket terbabit yang keseluruhannya bernilai RM7.99 juta, menjadikannya sitaan terbesar di Sarawak.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan aset mencecah RM8.53 juta,” kata Mancha dan memaklumkan turut dirampas bagi tujuan siasatan ialah beberapa kad bank, kunci dan peralatan pembungkusan dadah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai merupakan dalang utama sindiket berkenaan yang bergiat aktif sejak 2015 dengan mendapatkan bekalan dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier sebelum diedarkan di sekitar Sibu.
“Ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu menunjukkan keputusan negatif dan mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 13 hingga 20 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mancha berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kini giat mengesan saki-baki rangkaian sindiket dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi hotline JSJN di 012-2087222.
Sidang akhbar berkenaan turut dihadiri Ketua JSJN Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah dan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili.