• 2025-07-14 04:56 PM

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menyelamatkan dua remaja tempatan berusia 15 dan 16 tahun yang menjadi mangsa dera seksual serta dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan dalam talian.

Operasi dikenali sebagai Op Bugil dijalankan di Johor Bahru dan Kulai dari 20 Jun hingga 1 Julai.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun turut diselamatkan selepas menjadi mangsa pemerasan oleh sindiket sama.

Seramai sembilan individu tempatan berusia 17 hingga 50 tahun ditahan atas penglibatan dalam kegiatan jenayah itu.

Menurut siasatan, sindiket ini beroperasi sejak November tahun lalu dengan merekrut warga tempatan termasuk bawah umur sebagai penipu.

Mangsa ditawarkan gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan serta peluang bekerja di luar negara seperti Laos dengan pendapatan lebih tinggi.

“Mangsa dipaksa bekerja 12 jam sehari dengan cuti hanya sehari setiap dua minggu.

“Mereka dikurung, dirampas kad pengenalan dan telefon, serta didera secara fizikal dan seksual jika enggan patuh,” kata Kumar.

Sindiket ini menggunakan akaun media sosial palsu untuk memujuk mangsa membuat panggilan video lucah sebelum menggodam peranti mereka.

Rakaman kemudian digunakan untuk ugutan dan pemerasan wang.

Polis merampas 27 telefon bimbit, dokumen peribadi, wang tunai, dan peralatan lain dalam operasi itu.

Kes disiasat di bawah pelbagai akta termasuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang. – Bernama