KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki dan merampas minyak diesel yang dipercayai diseleweng serta pelbagai peralatan bernilai RM602,220 dalam dua operasi berasingan di Jalan PJU 1/23, Petaling Jaya.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Jafri Muhamad berkata operasi itu dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau berkata tindakan diambil selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyimpanan dan penyelewengan diesel secara haram di kawasan terbabit.
Dalam serbuan pertama, polis menahan empat lelaki termasuk dua warga Myanmar serta merampas 2,500 liter diesel, dua kepala lori, sebuah lori, dan pelbagai peralatan lain.
Serbuan kedua pula menemui 8,000 liter diesel, sebuah tangki skid, dan pam penyedut yang disyaki digunakan untuk pemindahan bahan api haram.
Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan KPDN untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.
Jafri turut meminta orang ramai melaporkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram kepada pihak berkuasa. - Bernama