SUNGAI PETANI: Polis menahan lima lelaki yang disyaki aktif dalam melakukan jenayah pecah premis perniagaan sejak tiga bulan lepas, dalam Op Pintu di sini pada 28 hingga 31 Mei.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kesemua suspek berumur 29 hingga 52 tahun itu dipercayai ahli Geng Jack, yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Jack, 30, yang baru selesai menjalani hukuman dan dibebaskan dari penjara Februari lepas.

“Suspek kembali aktif melakukan jenayah, dengan penahanan ini polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes membabitkan kumpulan ini termasuk pecah pejabat guaman, tadika, restoran serta satu kes pecah rumah sarang burung walit di Sungai Dua, Pulau Pinang.

“Modus operandi mereka tertumpu kepada premis yang dilihat mempunyai hasil lumayan dan mereka menggunakan peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, pemutar skru, mesin pencanai, gergaji kecil dan pahat,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, dekat sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu juga menyamar sebagai wakil syarikat utiliti dengan memakai pakaian berlogokan syarikat terbabit sebelum berkunjung ke premis yang berpotensi untuk mereka pecah masuk.

Hanyan berkata kesemua suspek juga didapati positif methamphetamine dan masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati Jack mempunyai 47 rekod berkaitan jenayah. Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta Proton Persona, empat peket plastik lutsinar disyaki syabu dianggarkan seberat 1.82 gram, dua beg galas berjenama, dua dompet, enam jam tangan berjenama serta seutas rantai leher emas.

“Turut dirampas wang tunai RM833, wang tunai pelbagai negara (bernilai RM1,455) dan lain-lain barangan termasuk beberapa baju syarikat utiliti dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM40,000,“ katanya.