BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang individu dipukul di sebuah kedai makan di Machang Bubok, di sini yang video berhubung insiden tersebut turut tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di Facebook pemilik akaun Pertiga Malaysia pada 10 pagi ini dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku 2.45 pagi Jumaat lepas (27 Dis).
“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Lelaki berusia 36 tahun yang ditahan itu direman sehingga 30 Dis.
“Punca kejadian berkaitan perselisihan faham isu peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman. Suspek telah menumbuk muka dan memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Helmi berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan sementara siasatan lanjut sedang dijalankan.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 1 minit 36 saat yang memaparkan seorang lelaki memukul lelaki yang dipercayai merupakan pekerja kedai makan dan kejadian itu mendapat kecaman warga maya berikutan beberapa individu lain yang berada di situ tidak cuba meleraikan pergaduhan tersebut.