BAGAN DATUK: Polis menerima laporan daripada tujuh pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan yang mendakwa menjadi mangsa buli pelajar senior dalam satu kejadian pada 8 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali berkata laporan diterima daripada pelajar tingkatan dua dan empat sekolah berkenaan yang mendakwa dibuli dua pelajar tingkatan lima sehingga mereka mengalami sakit otot serta bengkak pada bahagian tangan.
“Hasil siasatan awal mendapati dua pelajar tingkatan lima memberi arahan kepada 62 pelajar lelaki tingkatan dua dan empat melakukan 200 kali tekan tubi dengan alasan ingin mendisiplinkan mereka.
“Setakat ini kita hanya menerima tujuh laporan sahaja daripada pelajar yang terkesan,“ katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk di sini hari ini.
Mohammad Ali berkata hasil siasatan pihaknya mendapati kejadian buli itu berpunca daripada pelajar senior yang mahu mendisiplinkan pelajar junior, namun tindakan dibuat dengan cara yang salah.
Beliau berkata setakat ini pihaknya masih menunggu perintah untuk siasat (OTI) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan keterangan diambil daripada dua pelajar tingkatan lima yang didakwa melakukan buli itu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, dilaporkan terdapat kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan yang difahamkan dilakukan oleh pelajar senior terhadap junior mereka.