GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) selepas menahan dua lelaki termasuk warga emas dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.2 juta dalam serbuan di Gelugor.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sebuah kondominium mewah pada 3 petang Rabu.
“Dalam serbuan berakhir 2.30 pagi semalam, polis menahan lelaki berusia 62 tahun yang mempunyai kepakaran memproses dadah selain merampas 150 peket minuman segera dan sembilan botol plastik pelbagai saiz mengandungi MDMA dengan berat keseluruhan 13,456 gram,“ katanya.
Turut dirampas di kediaman itu ialah dua biji pil ekstasi dan sebiji pil eramin 5 serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah. Polis kemudian menahan suspek kedua berusia 40 tahun yang juga ejen hartanah di kawasan kondominium berkenaan.
“Kedua-dua lelaki dipercayai menjalankan kegiatan memproses MDMA sebelum mengedarkannya di pusat hiburan sekitar negeri ini,“ jelas Mohd Alwi.
Berdasarkan siasatan, sindiket itu mendapat bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memproses semula dan membungkusnya dalam peket minuman segera pelbagai perisa yang dijual pada harga RM300 setiap satu.
“Sindiket ini dipercayai menyewa kondominium mewah itu sejak tiga bulan lepas dan telah menjalankan kegiatan sejak Mac lepas. Mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,“ tambahnya.
Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah. Polis turut menyita wang tunai RM1,220 dan dua buah kereta jenis Kia dan Volkswagen Passat bernilai RM71,220. Kedua-dua lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama