• 2025-06-24 09:17 AM

KUALA LUMPUR: Presiden Kyrgyz Sadyr Zhaparov akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia mulai Selasa, dan beliau dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Zhaparov akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa (25 Jun).

Zhaparov akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar, dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan serta bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan mesra antara Malaysia dan Kyrgyz yang berasaskan prinsip saling menghormati dan kerjasama rapat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1992,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Bagi menghargai lawatan Zhaparov dan delegasinya, Anwar akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Makan Tengah Hari rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Presiden Kyrgyz itu turut dijadualkan mengadakan lawatan singkat ke Parlimen Malaysia.

Ini merupakan lawatan sulung Zhaparov ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Januari 2021. Lawatan ini adalah sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Kyrgyz pada Mei 2024. Presiden akan diiringi beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar Zheenbek Kulubaev dan pegawai kanan kerajaan.

Pada 2024, Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (US$8.74 juta).

Eksport utama Malaysia ke Kyrgyz termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan alat ganti, manakala import utama dari Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.