IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan bilik gerakannya di Bandar Meru Raya itu beroperasi 24 jam sehari bermula hari ini hingga 26 April depan.
“Selain itu orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada aduan.prk.N48@sprm.gov.my atau menghubungi di talian 019-6002041/01133209935/05-5267000 (sambungan 163),“ menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama SPRM mengingatkan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas, dengan hari pengundian ditetapkan pada 26 April ini.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah Abd Muhaimin Malek dan Timbalan Setiausaha Agung Parti SosialisMalaysia (PSM) Bawani KS.