KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang hari ini memilih calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah sebagai wakil rakyat baharu mereka.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook malam ini turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi sokongan moral, selain menyifatkan kejayaan pada hari ini menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan Anwar.

“Syukur Alhamdulillah, segala puji ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam sekali lagi menganugerahkan kemenangan kepada calon Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien dengan majoriti luar biasa melebihi 20,000.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada 35,791 pengundi DUN N29 Mahkota yang telah memberikan mandat kepada kami untuk terus menabur bakti di bumi Kluang, Johor,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota menyaksikan BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti besar iaitu 20,648 undi setelah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN itu Azurawati Wahid pada 9.13 malam ini.

Azurawati juga mengumumkan calon BN Syed Hussien memperoleh 27,995 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar meraih 7,347 undi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO turut menzahirkan rasa terima kasih buat seluruh jentera BN dan rakan komponen Kerajaan Perpaduan terutamanya seluruh jentera Johor yang diterajui Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kerjasama kukuh dan semangat juang kalian yang tinggi menjadi pemangkin kepada kejayaan ini,” katanya.

Beliau berkata kemenangan itu juga adalah legasi jasa tidak ternilai Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain yang telah mencurahkan seluruh jiwa raganya ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota dan akan kekal dalam ingatan serta menjadi sumber aspirasi BN untuk terus berkhidmat menyantuni rakyat di DUN tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kemenangan pada hari ini hadir bersama amanah yang berat, sebuah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.