• 2025-06-19 08:09 PM

BANGI: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa berlaku perselisihan faham antara kepimpinan BN pusat dan negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata kepimpinan gabungan itu tidak memiliki perbezaan prinsip sebaliknya hanya melakukan penyelarasan tertentu sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah.

“Menerusi semakan, saya dapati kadang-kadang kenyataan (kepimpinan BN pusat dan negeri) diambil di luar konteks. Situasi ini tiada perbezaan dari segi prinsip antara pendirian negeri terutama UMNO dan BN dengan (kepimpinan di peringkat) pusat.

“Kami sering mengadakan rundingan dan perbincangan (mengenai persediaan menghadapi PRN Sabah),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bertindak sebagai ‘jambatan’ bagi menghubungkan BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRN berkenaan.

“Ini kerana kita buat ketetapan BN dan PH (berada) dalam kesepakatan. Keputusan kita buka pintu kepada parti dan gabungan lain (untuk bekerjasama).

“Perkara ini sedang berada dalam perancangan. Saya tidak fikir perlu jambatan atau sebarang saluran lain, insya-Allah akan adakan rundingan lebih luas daripada GRS,” katanya.