• 2025-06-22 11:36 AM

KOTA BHARU: Pendidikan dilihat sebagai antara pendekatan paling berkesan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dan kajian yang telah dilakukan, semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, semakin rendah kebarangkalian individu itu terlibat dengan dadah.

“Sebenarnya kita sudah ada Majlis Sosial Negara yang melihat perkara ini secara tuntas dan menyeluruh. Namun, menurut pemerhatian dan kajian yang ditunjukkan, perkara paling utama yang dapat mengekang dan membasmi dadah ini adalah pendidikan.

“Semakin tinggi pendidikan, semakin kebarangkalian untuk dadah itu semakin berkurang. Jadi, sekiranya boleh, kita ingin meningkatkan pendidikan anak-anak kita seramai mungkin ke peringkat yang tertinggi supaya mereka mempunyai pekerjaan,” katanya kepada pemberita pada Program Bicara Qiadi dalam Nadwah Kepimpinan Kebangsaan 2025 di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kebimbangan terhadap penglibatan pelajar sekolah dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Pada 18 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kebimbangan terhadap gejala penyalahgunaan dadah dan vape dalam kalangan belia khususnya anak muda Melayu.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai mesyuarat yang disertai semua agensi dan institusi agama di kementeriannya berkaitan isu Sisters in Islam (SIS), Zulkifli berkata mesyuarat berkenaan mencapai kata positif.

“Perkara itu kita rujuk kepada pejabat menteri, memang positif sebab apa yang dibincangkan itu melihat secara keseluruhan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Pada Khamis lepas, panel Mahkamah Persekutuan melalui keputusan majoriti 3-1 memutuskan bahawa fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 dan diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah sah namun hanya terpakai kepada individu dan bukan syarikat.