JERTIH: Seramai 28 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut berjaya mencatatkan penurunan berat badan sehingga 25 kilogram selepas menyertai program ‘Biggest Losses’ selama dua bulan bermula Jun hingga Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata kejayaan itu dicapai melalui pelbagai aktiviti fizikal termasuk mendaki Bukit Keluang, berjalan kaki di pantai, senaman ketenteraan serta kawalan pemakanan. “Penurunan BMI bukan sekadar untuk penampilan profesional, malah meningkatkan kecekapan bertugas dalam keadaan mencabar,“ jelasnya semasa majlis penutup program di Dewan Perumahan Polis Gelam Mas.
Program kolaborasi dengan Pejabat Kesihatan Daerah Besut itu diadakan tiga kali seminggu tetapi menunjukkan kesan signifikan. Azamuddin menekankan tahap kecergasan fizikal turut menyumbang kepada keyakinan masyarakat terhadap integriti anggota polis. - Bernama