• 2025-07-24 04:43 PM

KUANTAN: Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) merupakan pelaburan jangka panjang bagi membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu, inklusif, dan bertanggungjawab.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa program ini berteraskan modul silang budaya yang menekankan pembelajaran secara langsung dan interaktif.

Beliau berkata, GRIP melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah dari seluruh negara dan merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Kementerian Pendidikan.

“Sekolah bukan sekadar tempat untuk menerima ilmu, tetapi juga ruang di mana perpaduan dibentuk melalui interaksi harian yang tulen.

Di sinilah ideologi Rukun Negara diamalkan dalam bentuk saling menghormati dan bekerjasama,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud.

Program GRIP disusun secara sistematik melalui tiga kluster utama iaitu kenegaraan, budaya dan adat resam, serta nilai-nilai murni.

“Ia menjadi platform praktikal untuk melatih generasi muda menghayati kepelbagaian secara langsung,” tambah Aaron.

Program selama empat hari ini melibatkan 200 pelajar dari seluruh negara dan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan. – Bernama