KUALA SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.

Program itu yang akan melabuhkan tirainya hari ini akan turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri Kerajaan Perpaduan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menyampaikan amanat pada majlis petang ini sebelum menyertai sesi Dialog Malaysia MADANI bersama-sama dengan Ahmad Zahid dan Fadillah.

Perdana Menteri dijadualkan menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Program Pembangunan Projek Pertanian dan Agromakanan Bagi Mengoptimumkan Tanah Negeri Selangor antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

Selain itu, Anwar juga akan menyampaikan bantuan manfaat Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat.

Jumlah kehadiran pengunjung pada hari terakhir program itu juga dijangka lebih ramai selain pelbagai acara termasuk Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI menanti pengunjung.

Program yang berlangsung sejak Jumaat bermula 9 pagi hingga 10 malam itu adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan.

Antaranya, kaunter pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu selain penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal setiap hari.

Turut disediakan pameran aset kerajaan, perkhidmatan bergerak seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian, kempen derma darah, perkhidmatan kitar semula, perkhidmatan urutan terapi dan kosmetologi serta temu duga terbuka peluang pekerjaan.

Penutup program hari ini turut diisi dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara Veteran Selangor menentang Veteran Perak serta sesi ramah mesra pasukan Selangor FC pada sebelah petang.

Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis dalam Konsert Showcase Kita Selangor 2024 bermula 8.30 malam ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image