SUNGAI PETANI: Kadar pengulangan jenayah (residivisme) dalam kalangan bekas banduan menyertai program reintegrasi penjara sangat rendah iaitu hanya seorang bagi setiap 800 yang dibebaskan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kadar itu menunjukkan program reintegrasi dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia sebagai program sangat berjaya.
“Mereka (bekas banduan) yang berada di luar yang telah kita integrate dengan komuniti, rekod kita menunjukkan setiap 800 tamat hukuman, satu sahaja mengulangi kesalahan.
“Ini berbanding 100 banduan yang dibebaskan institusi penjara tanpa kaedah seperti ini (iaitu) 13 (bekas banduan) masuk balik (kerana) mengulangi kesalahan sehingga membawa hukuman penjara,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Korektif Kampung Angkat MADANI Jabatan Penjara Malaysia di Kampung Teluk Nipah, Kota Kuala Muda dekat sini hari ini.
Beliau berkata program reintegrasi yang dilaksanakan ke atas banduan melakukan kesalahan kecil dan dikenakan hukuman penjara bawah tiga tahun itu membolehkan mereka diberikan pelbagai latihan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program yang dijalankan di pusat reintegrasi penjara bukan sahaja mengurangkan kesesakan di penjara, malah menjimatkan kos operasi.
“Kita ada 41 penjara dan penghuni sampai 87,000 sekarang termasuk 29,000 tahanan reman yang belum dibuat keputusan (sedangkan) kapasiti penjara sekitar 72,000 hingga 73,000 orang sahaja, bermakna sesak.
“Tapi kalau kita boleh meletakkan mereka di luar, di premis reintegrasi maka mereka menyumbang kepada mengurangkan kesesakan penjara,” katanya - Bernama