SOOK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM1 juta untuk Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) bagi projek penanaman nanas MD2 di sini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata Fasa 1 projek ini melibatkan enam hektar tanah dengan penanaman 250,000 sulur nanas, memberi manfaat kepada 695 peserta di kawasan tersebut.
“Peserta akan mula menikmati tuaian pertama dalam tempoh 12 hingga 15 bulan, sekaligus menyokong pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar, terutamanya di pedalaman Sabah yang bergantung pada sektor pertanian,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur menegaskan projek ini bukan sahaja meningkatkan pengeluaran nanas negara, malah membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan pekebun, dan mendorong pembangunan ekonomi luar bandar secara holistik.
Beliau menjelaskan bahawa projek asal SLDB di kawasan tersebut adalah tanaman kelapa sawit, tetapi disebabkan keadaan tanah yang tidak sesuai, SLDB mengambil inisiatif untuk mengoptimumkan tanah tersebut dengan tanaman nanas.
Selain itu, Arthur menyatakan bahawa Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut dilibatkan untuk menilai potensi kerjasama dalam mewujudkan industri nanas di Sook. KPKM juga memberi tumpuan kepada sektor pertanian bernilai tinggi seperti nanas MD2.
Di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sook, projek penanaman nanas MD2 juga dijalankan secara berkelompok di Kampung Sakikilo, melibatkan 42 keluarga.
“LPNM akan berkongsi kepakaran dalam penanaman nanas serta memantau projek ini bersama PPK Sook untuk meningkatkan pendapatan komuniti terlibat,“ jelasnya.
Beliau turut merancang agar LPNM dan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia dapat mewujudkan industri nanas di Sook sebagai sumber ekonomi baharu bagi penduduk pedalaman Sabah. Sebanyak 5,000 sulur nanas, lebih 300kg baja, dan sebuah mesin mini tiller telah diserahkan untuk memulakan projek komuniti ini.