KUCHING: Menyelesaikan projek pembangunan mengikut jadual menjadi keutamaan bagi setiap projek di Sarawak menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia.
Pelbagai pendekatan strategik dibincangkan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat Sarawak.
Dengan kerjasama dan iltizam semua pihak, beliau yakin setiap inisiatif pembangunan di Sarawak dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.
Keutamaan adalah memastikan setiap projek bukan sahaja siap mengikut jadual tetapi juga memberi manfaat jangka panjang pada rakyat dan kemajuan negeri.
Mesyuarat itu penting bagi memastikan kelancaran projek-projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Tumpuan utama diberikan terhadap perancangan serta pelaksanaan projek pembangunan.
Mesyuarat turut membincangkan perancangan kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 bagi Sarawak demi memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan dan inklusif.
Mereka menilai secara menyeluruh status semasa pelaksanaan projek-projek pembangunan termasuk analisis prestasi dan peruntukan perbelanjaan.
Cabaran seperti kekangan dana dan kelewatan penyempurnaan projek turut dianalisis bagi merangka penyelesaian lebih efektif.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut hadir pada mesyuarat tersebut. – Bernama