• 2025-07-31 04:36 PM

KUALA LUMPUR: Projek infrastruktur seperti tebatan banjir dan peningkatan jalan raya menjadi fokus utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM20 bilion untuk 103 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.

Antara lokasi yang terlibat termasuk Sungai Langat dan Sungai Buloh di Selangor, Sungai Golok di Kelantan, serta Lembangan Sungai Johor dan Muar di Johor.

“Sistem amaran awal akan ditingkatkan dengan teknologi AI bagi memastikan kesiapsiagaan rakyat,“ jelas Anwar semasa pembentangan di Dewan Rakyat.

Selain tebatan banjir, projek infrastruktur rentas sempadan turut diberi keutamaan.

Ini termasuk menaik taraf Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang, serta pembangunan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Kolok yang menghubungkan Malaysia dan Thailand.

Kerajaan juga akan meneruskan projek besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, dan LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang.

Pembinaan jalan baharu dan penaiktarafan lebuh raya sedia ada seperti PLUS turut dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pengangkutan.

“Pembangunan infrastruktur luar bandar tidak diabaikan. Sebanyak 2,800 kilometer jalan luar bandar akan dibina atau dinaik taraf,“ tambah Anwar.

Projek ini merangkumi jalan di Sarawak, Perak, dan Pahang bagi meningkatkan kebolehcapaian kawasan pedalaman. – Bernama