PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengenakan pemantauan rapi serta syarat keselamatan yang ketat terhadap 15 warga Palestin yang bakal ditempatkan di negara ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Beliau berkata pergerakan semua warga Palestin tersebut akan dipantau agensi keselamatan, dan kesemua mereka akan tertakluk kepada syarat ketat berhubung aktiviti di Malaysia.

“Mereka belum lagi berada di sini (Malaysia), tetapi proses penelitian terhadap pelbagai aspek sedang berjalan,“ kata Menteri Komunikasi itu pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi berkata proses membawa masuk 15 individu tersebut adalah selaras dengan keputusan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menempatkan 380 warga Palestin yang sebelum ini menjadi tahanan Israel, ke beberapa negara anggota.

“Sekitar 380 tahanan dibebaskan tetapi tidak dibenarkan kembali ke Palestin. Oleh itu, beberapa negara seperti Qatar dan Turkiye bersetuju menerima 100 rakyat Palestin masing-masing, manakala Malaysia menerima 15 orang,“ katanya.

Semalam Mohamad berkata Malaysia bersedia menerima 15 bekas tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebagai sebahagian daripada syarat perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Beliau berkata Malaysia sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin mendapatkan kemerdekaan, dan keputusan menerima mereka adalah munasabah serta tidak akan membebankan negara.

Mohamad turut menjelaskan bahawa kesemua individu terbabit telah ditahan Israel selama 20 hingga 30 tahun tanpa sebab dan tanpa perbicaraan, serta tidak lagi dibenarkan pulang ke Palestin selepas dibebaskan.