GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan pembayaran fasa kedua Program i-Sejahtera tahun ini, yang akan dikreditkan secara pindahan wang elektronik (EFT) kepada 9,405 penerima mulai esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata pembayaran ini melibatkan jumlah keseluruhan RM1,721,300 sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.
Beliau menjelaskan pembayaran Fasa 2/2025 hanya diberikan kepada pemohon baharu yang mendaftar sebelum 30 Jun setiap tahun. Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut akan diproses untuk Fasa 1/2026.
“Pecahan bayaran dan jumlah penerima bagi Fasa 2/2025 adalah seperti berikut: penghargaan warga emas kepada 7,187 penerima dengan jumlah RM1,437,400; bantuan ibu tunggal kepada 317 penerima berjumlah RM317,000; penghargaan suri emas kepada 1,280 penerima dengan jumlah RM1,280,000; serta bantuan orang kurang upaya (OKU) kepada 621 penerima berjumlah RM124,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM53.83 juta kepada 285,816 penerima dari pelbagai kategori bagi Fasa 1 dan Fasa 2 dari Januari hingga Julai 2025.
Beliau menjelaskan kategori penerima terdiri daripada penghargaan warga emas sebanyak 209,938 penerima dengan nilai RM41,987,600; bantuan ibu tunggal kepada 10,644 penerima bernilai RM1,064,400; penghargaan suri emas kepada 44,231 penerima dengan jumlah RM4,423,100; bantuan OKU kepada 15,608 penerima sebanyak RM3,121,600; anak emas (one-off) kepada 2,700 penerima berjumlah RM540,200; serta sumbangan khairat kematian (one-off) kepada 2,695 penerima berjumlah RM2,695,000.
Beliau menggesa semua pemohon supaya segera mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan proses pembayaran Fasa 1/2026 berjalan lancar.
Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan harian rakyat dengan hasrat agar setiap bantuan kebajikan yang disalurkan memberi kesan positif kepada semua golongan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program i-Sejahtera, orang ramai boleh menghubungi Unit KEMARA di talian 04-650 5699 / 5700, atau hadir ke Pejabat i-Sejahtera di Tingkat 44, Komtar, pada hari bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Pendaftaran juga boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi: https://isejahtera.penang.gov.my. - Bernama