SEBUAH pusat e-sukan yang dibangunkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka mula beroperasi tahun depan. Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim memaklumkan butiran lanjut mengenai pengoperasian pusat itu akan diumumkan pada September ini.
“Proses pengeluaran tender masih berjalan, dan kita menjangkakan pusat ini boleh digunakan sepenuhnya pada 2026,“ kata Adam Adli selepas majlis penutup Kejohanan E-Sukan Belia ASEAN (AEYSC) 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menegaskan pusat e-sukan ini tidak terhad kepada aktiviti e-sukan sahaja tetapi akan berfungsi sebagai dewan serba guna. “Kita mahu pastikan kemudahan ini digunakan secara optimum,“ tambahnya.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebelum ini menyatakan tiada stadium baharu akan dibina, sebaliknya salah satu kemudahan di KL Sports City, Bukit Jalil akan diubah suai menjadi pusat e-sukan.
Mengenai AEYSC 2025, Adam Adli menyifatkan penganjuran oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) sebagai kejayaan. Walaupun hanya menawarkan satu permainan, eFootball Mobile, beliau berharap kejohanan ini menjadi asas untuk pertandingan lebih besar pada masa depan.
Pasukan Indonesia muncul juara keseluruhan dengan meraih ketiga-tiga pingat emas, manakala Malaysia membawa pulang dua perak.