JOHOR BAHRU: Sebanyak 57 penduduk daripada 21 keluarga di daerah Pontian telah ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara susulan banjir kilat hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata PPS di Sekolah Kebangsaan Penerok, Tanjung Piai itu mula dibuka pada pukul 8 malam tadi.
Beliau menyatakan kawasan yang terjejas termasuk Kampung Makam, Penerok dan juga Kampung Parit Bugis.
“Berdasarkan laporan awal, hujan lebat berlaku petang tadi namun dilaporkan sudah berhenti,“ katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri menambah cuaca di kawasan yang terjejas setakat ini adalah cerah. – Bernama