KUALA LUMPUR: Sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) China-ASEAN dicadang diwujudkan bagi membincangkan isu berkaitan perubahan iklim, keselamatan makanan, inovasi, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata sebuah pasukan khas boleh diwujudkan bagi mengenal pasti mana-mana institusi yang berpotensi khususnya di Malaysia untuk dijadikan pusat R&D berkenaan.

Johari berkata perkara itu antara diutarakan beliau sewaktu menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Dewan Majlis Perundangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (LegCo) diketuai presidennya Andrew Leung Kwan-yuen di Bangunan Parlimen hari ini.

“Kalau boleh diperkenalkan (pusat R&D) China-ASEAN...ini akan membantu bukan sahaja ASEAN tetapi juga negara-negara Asia.

“China juga mempunyai kewangan, tetapi China juga ingin melihat bagaimana boleh melibatkan negara-negara ASEAN apabila kita menjadi pengerusi ASEAN tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu Johari berkata Hong Kong bersedia menerima lebih ramai pelajar Malaysia untuk dipersiapkan dari pelbagai aspek bagi membantu memperkemaskan persediaan negara menghadapi kemasukan pelabur asing.

Beliau berkata dengan ayunan pendulum ekonomi yang menuju ke arah Asia ketika ini, negara harus mempersiapkan diri bagi menerima kemasukan pelabur antara lain dengan memastikan tenaga kerja khususnya anak muda diberi latihan bersesuaian.

Sementara itu bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik China dan Malaysia tahun ini, Johari berkata negara Tembok Besar itu berharap agar hubungan perdagangan dua hala khususnya dengan Hong Kong dapat ditingkatkan lagi.

Katanya kedua-dua pihak juga berharap agar penggunaan nilai mata wang tempatan untuk perdagangan dapat ditingkatkan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika.

Pada 2023, Hong Kong merupakan rakan dagang global kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport keempat terbesar dan sumber import ke-16 terbesar manakala pada 2022, Malaysia merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar dan destinasi eksport ke-10 terbesar Hong Kong.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Hong Kong pada 2023 berjumlah RM105.09 bilion (USD22.03 bilion).