SEREMBAN: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) akan menubuhkan hab halal patuh syariah di Vietnam bagi memperluaskan aktiviti ekonomi di peringkat global.

Presidennya Datuk Shaharuddin Omar berkata inisiatif tersebut dilaksanakan dengan usaha sama Persatuan Veteran Vietnam yang berminat untuk bersama PVATM dalam pembangunan sektor ekonomi halal di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja berpotensi membuka pasaran baharu untuk produk halal tenmpatan, malah turut membantu memperkukuhkan kedudukan ekonomi ahli PVATM secara menyeluruh.

“Kerjasama ini juga dilihat dapat mengurangkan kebergantungan kepada proses birokrasi dalam pengimportan sumber makanan ke negara ini, dengan adanya pembukaan kilang halal patuh syariah di sana sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Langkah ini secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan dalam aspek keterjaminan makanan negara pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PVATM ke-103 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusof serta tetamu dari Delegasi Pertubuhan Veteran Negara ASEAN (VECONEC).

Pada majlis tersebut PVATM turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama ekonomi veteran dengan Indonesia, Brunei, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Shaharuddin berkata jalinan persefahaman ini bagi meningkatkan pembangunan ekonomi veteran di Rantau Asia selain memperluaskan pasaran pengimportan produk dihasilkan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu beliau berkata PVATM bakal bekerjasama dengan MARDI Corporation Sdn Bhd (MardiCorp) bagi membangunkan projek tanaman ladang kelapa berskala besar yang menjadi sebahagian daripada usaha membantu memperkukuhkan keterjaminan makanan dalam negara.

“Kami melihat projek ini mampu menjadi salah satu tulang belakang kepada pengukuhan sumber makanan tempatan, selain memberi manfaat dan peluang ekonomi baru kepada ahli veteran kita,“ katanya.