• 2025-09-24 08:44 PM

‎SHAH ALAM: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyaksikan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM6.12 juta daripada 22 syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

‎Keberangkatan tiba Tengku Amir pada 5 petang disambut oleh Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari, Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Miszairi Sitiris dan Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda. ‎

Antara syarikat berkenaan ialah Dherbs Holdings Sdn Bhd yang menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM900,000, XpertsCo Sdn Bhd (RM624,161.30), Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (RM599,160.82), Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM550,000), Bawal Sdn Bhd (RM500,000), dan Public Islamic Bank Berhad (RM400,000).

‎‎Pada majlis sama, Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan dana wakalah agihan zakat bernilai RM200,000 untuk disalurkan kepada program kebajikan, pendidikan dan pembangunan‎ belia diusahakan YRMS.

Terdahulu, Mohd Khaidzir dalam sembah ucapannya pada Majlis Hi-Tea bersama-sama Raja Muda Selangor itu berkata LZS optimis untuk mencapai sasaran kutipan zakat keseluruhan bagi tahun ini berjumlah RM1.328 bilion, termasuk RM205 juta daripada zakat perniagaan.

‎‎Beliau berkata setakat ini, LZS telah menerima zakat perniagaan daripada lebih 8,500 syarikat, usahawan dan peniaga dengan jumlah kutipan melebihi RM117 juta, yang mencerminkan perkembangan positif terhadap kesedaran korporat yang semakin meningkat.

‎‎”Zakat Selangor ditadbir urus secara profesional dan buktinya kini kami telah berjaya meningkatkan kutipan zakat di negeri ini daripada RM15.9 juta pada 1995 kepada RM1.22 bilion pada 2024.

‎‎”Dalam tempoh yang sama juga, pengagihan zakat melonjak daripada RM16.3 juta pada 1995 kepada RM1.19 bilion pada 2024. Prestasi membanggakan ini (kutipan dan agihan) bersamaan dengan kadar 17 peratus peningkatan secara purata tahunan,“ katanya.

Mohd Khaidzir berkata LZS terus mencatat kejayaan yang membanggakan apabila muncul sebagai institusi zakat pertama di Malaysia mengagihkan zakat melebihi RM1 bilion.

‎‎”Kejayaan dan keupayaan untuk‎ menguruskan zakat lebih 30 tahun di negeri ini ialah berkat kepercayaan semua pengeluar zakat kepada kami termasuklah anda semua yang berada di hadapan saya pada hari ini,“ katanya.

‎‎Beliau turut menyeru kepada syarikat dan individu yang masih belum menunaikan rukun Islam ketiga itu supaya berbuat demikian, khususnya zakat perniagaan agar dapat memanfaatkan lebih 78,000 keluarga asnaf yang memerlukan.