LANGKAWI: Raja Norway Raja Harald V berangkat pulang dengan pesawat Scandinavian Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pada 1.03 tengah hari tadi.

Sebelum itu, kenderaan membawa Raja Harald V yang diiringi polis dan rombongan pengiring baginda keluar dari Hospital Sultanah Maliha (HSM) menuju ke LTAL pada 12.25 tengah hari.

Pesawat Scandinavian Airlines yang berlepas dari Lapangan Terbang Oslo mendarat di LTAL Jumaat lepas, lengkap dengan kemudahan perubatan.

Raja Harald V akan menerima rawatan lanjut di Rikshospitalet sebaik berangkat tiba di Norway, menurut kenyataan yang dikeluarkan kerabat diraja Norway dalam laman sesawang www.royalcourt.no.

Menurut kenyataan itu baginda akan bercuti selama dua minggu dan dalam tempoh itu Putera Mahkota akan menjalankan tugas sebagai pemangku raja.

Pada Sabtu, Raja Harald V berjaya menjalani prosedur implan perentak jantung di HSM berikutan kadar denyutan jantung baginda yang lemah seperti yang disahkan oleh doktor peribadi baginda, Bjorn Bendz.

Bendz dilapor berkata implan perentak jantung itu membolehkan baginda melakukan perjalanan pulang dengan lebih selamat.

Bernama pada 28 Feb lepas melaporkan Raja Harald V menerima rawatan di HSM selepas jatuh sakit ketika bercuti di Malaysia. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image