KUANTAN: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan hilang dan disyaki lemas ketika memancing di Sungai Kuantan berhampiran Jalan Indera Mahkota 15/7, Bandar Indera Mahkota, petang semalam. Mangsa, Mohamad Isyraf Danish Razmi, dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing yang tersekat sebelum hilang daripada pandangan tiga rakannya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu sekitar pukul 7.30 malam. Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditubuhkan di lokasi dan operasi SAR kini sedang giat dijalankan. Operasi ini melibatkan seorang pegawai dan 10 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan serta dua pegawai dan lapan anggota JBPM,“ jelas Mohd Adli dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menghampiri lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi SAR. - Bernama