SEPANG: Remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Pelek di sini sejak Ahad lepas, ditemukan selamat di Melaka.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman menerusi kenyataan hari ini berkata remaja itu ditemukan di rumah kawannya pada 6 pagi tadi.
“Remaja itu dijumpai oleh orang awam yang mendapat maklumat daripada kenyataan media polis berhubung kehilangannya.
“Dia diserahkan kepada polis sebelum dikembalikan kepada ibu bapanya,“ katanya.
Beliau berterima kasih atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan sehingga remaja itu ditemukan.
Semalam, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan remaja itu susulan laporan polis dibuat bapanya sehari selepas kehilangannya.