• 2025-10-04 09:21 PM

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tali air di Kampung Alor Setol, Langgar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata mangsa berusia 13 tahun itu pergi memancing bersama empat rakannya di kawasan berkenaan.

Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima panggilan orang awam pada jam 10.04 pagi mengenai remaja lelaki tidak sedarkan diri di tepi tali air.

Siasatan awal mendapati mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah di Pokok Sena dipercayai tergelincir ke dalam tali air ketika melalui kawasan berkenaan.

Rakan-rakannya cuba menyelamatkannya namun gagal mencapai mangsa dalam kejadian itu.

Pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama