GEORGE TOWN: Suasana di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini hari ini meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang begitu teruja untuk naik dan meneroka keadaan di dalam kapal tentera laut dari negara ASEAN termasuk Malaysia.
Program yang diadakan sempena ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) dan sambutan Hari Buletin 4.0 anjuran kerajaan negeri itu, berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, pelajar sekolah dan peminat dunia ketenteraan untuk melihat sendiri kecanggihan aset pertahanan maritim serantau.
Bagi pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Fauzi Bakar, 68, pengalaman menaiki kapal tentera laut ASEAN hari ini sangat istimewa kerana meskipun pernah berkhidmat selama 21 tahun, dia tidak pernah berpeluang menaiki kapal perang milik negara asing.
Mohd Fauzi yang pernah berkhidmat di bahagian persenjataan berkata tahap teknologi dan keupayaan kapal tentera laut negara ASEAN lain yang dipamerkan adalah setanding dengan aset yang dimiliki Malaysia.
“Mereka (ASEAN) memiliki kapal yang canggih dengan pelbagai jenis senjata, nampaknya ia setanding dengan negara kita, cuma peluang menaiki kapal mereka ini sudah pasti satu pengalaman baharu,“ katanya kepada Bernama ketika ditemui di SPCT di sini hari ini.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutchings di sini, S. Lajelen, 19, berkata dia dan 40 rakan sekolahnya sangat teruja apabila berpeluang melihat sendiri teknologi ketenteraan negara serantau terutama dari segi kelengkapan senjata mereka.
“Kami sangat teruja kerana ini pertama kali dapat naik kapal tentera laut, dengan teknologi dan sistem pensenjataan yang canggih. Sebelum ini kapal negara sendiri pun kami tidak pernah naik apatah lagi kapal tentera laut negara orang, jadi ini peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan,“ katanya.
Pekerja swasta, Rachel Teh, 35, pula berkata pertama kali memasuki dan ‘meneroka’ keadaan di dalam kapal perang merupakan pengalaman yang unik yang tidak akan dilupakan.
“Sejak dua hari lepas saya hanya dapat lihat dari jauh iaitu dari Padang Kota kapal-kapal ini berlabuh di SPCT dan hari ini dapat naik, sudah pasti teruja.
“Lawatan ini juga dapat meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, terutamanya menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,“ katanya.
Dua pelajar SMK Alma di Bukit Mertajam, Alia Kaisara Roslan dan Nur Fatini Abdul Hamid, masing-masing berusia 17 tahun, mengakui walaupun pernah menaiki kapal TDLM di Lumut, Perak sebelum ini, pengalaman hari ini lebih menarik kerana mereka berpeluang menaiki kapal tentera laut negara luar.
Nur Fatini berkata anggota dan pegawai tentera laut yang berada di atas kapal juga memberi penerangan terus kepada pengunjung khususnya mengenai peralatan yang ada di situ.
“Kami naik semua kapal kerana nak tengok perbezaannya dan sepanjang berada di atas kapal kami juga diberikan penerangan mengenai fungsi senjata yang ada termasuk meriam dan sebagainya, memang seronok,“ katanya.
Sebanyak 10 kapal tentera laut negara ASEAN termasuk tiga kapal TLDM berada di SPCT bagi menyertai acara ketenteraan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Tiga kapal perang TLDM itu ialah KD Kedah, KD Lekiu dan KD Lekir manakala yang lain adalah dari Singapura iaitu RSS Vigour, KRI Bung Tomo (Indonesia), KDB Darulaman (Brunei), UMS King Sin Phyu Shin (Myanmar), HTMS Krabi (Thailand), VPNS Quang Trung (Vietnam) dan BRP Antonio Luna (Filipina).
Semua kapal yang terlibat dibuka untuk lawatan kepada pengunjung dan masyarakat bermula tengah hari hingga 6 petang ini.
Pulau Pinang menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran TLDM dari 15 hingga 22 Ogos, melibatkan tiga acara utama iaitu Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ke-3 dan ASEAN Fleet Review (AFR) - BERNAMA