KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US dalam persekitaran sentimen pelabur berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 lewat hari ini dan mata wang Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.
Pada 8 pagi, unit tempatan menyusut kepada 4.2100/2210 berbanding penutupan urus niaga semalam pada paras 4.2090/2145.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS menerima rangsangan malam tadi kerana kadar inflasi di peringkat pengeluar meningkat pada kadar yang pantas.
“Selain itu, jumlah permohonan bagi faedah pengangguran turun minggu lepas, memberi gambaran bahawa pasaran buruh masih dalam kedudukan stabil,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Indeks Harga Pengeluar (IHP) AS Julai meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun, mengatasi unjuran 2.5 peratus, manakala IHP teras naik kepada 3.7 peratus berbanding 2.9 peratus dan Tuntutan Pengangguran Permulaan AS turun sedikit pada 224,002 berbanding jangkaan sebanyak 225,000 sebelum ini.
“Susulan itu, Indeks Dolar AS (DXY) menokok 0.42 peratus kepada 98.254 mata apabila peniaga tidak yakin kadar faedah diturunkan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan seterusnya,” katanya.
Di peringkat tempatan, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka berlegar antara 4.21 dan 4.23 berbanding dolar US hari ini kerana kecenderungan untuk meraih keuntungan dalam persekitaran ketidaktentuan mengenai keputusan Fed AS.
“Pertukaran USD-MYR tidak menentu semalam. Ia mencecah RM4.1858 semasa sesi pagi tetapi susut kemudian kepada RM4.2118.
“Nampaknya RM4.20 adalah paras psikologi dan USD-MYR telah melepasi paras tersebut buat seketika,” katanya.
Pada pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit naik berbanding euro kepada 4.9047/9175 daripada 4.9170/9234 ketika ditutup pada Khamis, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.8502/8578 daripada 2.8703/8742 dan menambah berbanding pound Britain kepada 5.6953/7102 daripada 5.7146/7220 semalam.
Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2775/2866 daripada 3.2849/2895 ketika ditutup semalam dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9646/13.0069 daripada 13.0004/0238 sebelum itu.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 261.2/262.0 daripda 261.1/261.6 dan tidak berubah berbandingf peso Filipina pada 7.39/7.42 daripada 7.39/7.41 sebelumnya. - Bernama