• 2025-07-24 10:09 AM

KUALA LUMPUR: Seramai 8.5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah menerima bayaran melalui STR Fasa 1 dan Fasa 2 dengan jumlah keseluruhan RM4 bilion disalurkan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dua fasa bayaran lagi dijadualkan pada Ogos dan November 2025. “Kerajaan telah meningkatkan peruntukan ke tahap tertinggi bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion daripada RM10 bilion,“ kata MOF dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.

Peningkatan ini memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

Bagi program SARA, lebih 4.9 juta penerima telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar sehingga 14 Julai 2025, dengan kadar penggunaan 92 peratus.

“Seramai 5.4 juta penerima direkodkan dengan jumlah kelayakan SARA untuk setahun sebanyak RM5 bilion. Jumlah penerima SARA juga meningkat daripada 700,000 kepada 5.4 juta bermula April 2025,“ jelas MOF.

Kerajaan kekal komited memantau situasi semasa bagi memastikan bantuan tunai terus sampai kepada golongan memerlukan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup. - Bernama