• 2025-10-11 07:06 PM

PAPAR: Peruntukan Pembangunan sebanyak RM6.9 bilion yang diumumkan untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 menggambarkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan membantu menyelesaikan isu air dan elektrik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata antara komitmen peruntukan untuk bekalan elektrik adalah subsidi RM1.2 bilion untuk kestabilan bekalan elektrik di Sabah.

Beliau menjelaskan jumlah subsidi itu meliputi RM880 juta subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar.

Subsidi tersebut ditingkatkan berbanding peruntukan RM700 juta bagi tahun 2025.

Sebanyak RM189.8 juta diperuntukkan di bawah projek-projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Manakala RM128 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek-projek sambungan bekalan elektrik oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Armizan menegaskan komitmen berkenaan membuktikan kerajaan Persekutuan mahu menyelesaikan isu legasi ketidakstabilan bekalan elektrik di Sabah.

Ini sungguhpun kuasa kawal selia tenaga telah diambil alih oleh kerajaan negeri bermula 2024.

Pengambilalihan itu melalui penyerahan kuasa kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah yang ditubuhkan di bawah kerajaan negeri.

Beliau menambah majoriti pegangan saham Sabah Electricity masih kekal dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad.

Sabah Electricity ialah syarikat utiliti bersepadu yang menyediakan perkhidmatan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Peruntukan juga disalurkan bagi memenuhi komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu air melalui peruntukan sejumlah RM1 bilion bermula 2024 hingga 2026.

Ini meliputi projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Projek-projek air tersebut sedang dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan.

Sementara itu, Armizan berkata inisiatif pelaburan 10Star Cinemas di Sabah amat dialu-alukan dengan anggaran pelaburan melebihi RM100 juta.

Pelaburan ini termasuk membuka enam pawagam di luar bandar Sabah yang telah pun beroperasi.

Dua lagi pawagam akan dibina di Kinarut dan Kundasang masing-masing disasarkan siap dan beroperasi pada 2026 dan 2027.

Pelaburan 10Star Cinemas di Sabah bukan sekadar perniagaan berorientasikan komersil semata-mata malah membantu pembangunan sosioekonomi rakyat.

Inisiatif ini menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan dan menjadi rakan strategik membangunkan industri kreatif di Sabah.

Program ini sejajar dengan Program Aspirasi Pembangunan Filem Sabah 2026/2027 yang memberi fokus kepada Pembangunan Infra Pawagam dan Pembangunan Karya Muda.

Program Pembangunan Karya Muda menggalakkan pengkarya muda untuk menghasilkan karya filem pendek.

Melalui program ini, 10Star Cinemas akan bekerjasama dengan DBAY Film Factory Sdn Bhd dalam mengenal pasti bakat-bakat muda yang layak.

Pengkarya muda bakal ditawarkan peluang untuk menjadi produksi filem pendek yang akan ditaja oleh 10Star Cinemas. – Bernama