KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh usaha mitigasi banjir menerusi tiga strategi utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk mempercepat 43 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi (TBBT) dengan peruntukan RM12 bilion.
Antara projek yang disegerakan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching, RTB Lembangan Sungai Johor, Sungai Muar, Sungai Pahang, dan Baling.
Pasukan pelaksana khas ditubuhkan bagi memantau kemajuan projek, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sistem amaran awal berasaskan AI akan diperluas di lembangan sungai utama dengan kos RM398 juta bagi meningkatkan ketepatan ramalan banjir.
Kerajaan juga memanfaatkan bekas lombong dan kolam rekreasi sebagai takungan banjir, selain membangunkan infrastruktur pelbagai fungsi seperti penjanaan tenaga hidroelektrik.
Pendekatan inovatif seperti bangunan adaptif banjir dan bahan kalis air akan digiatkan.
Konsep ‘sponge city’ turut diperkenalkan untuk meningkatkan kapasiti penyerapan air di bandar.
Tadbir urus pengurusan banjir akan dipertingkat dengan penyelarasan guna tanah dan penguatkuasaan piawaian pembangunan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat diperkukuh bagi memastikan respons lebih bersepadu.
Sepanjang RMK12, 17 projek tebatan banjir berjaya disiapkan, dengan RM220 juta diperuntukkan tahun lepas untuk naik taraf sistem perparitan.
Tahun ini, RM600 juta disediakan sebagai persiapan menghadapi bencana, termasuk bantuan RM16.7 juta untuk petani terjejas.
Dana Ihsan MADANI pula menerima sumbangan RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta. – Bernama