• 2025-07-31 04:38 PM

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi bukti nyata komitmen kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI.

Pelan ini dirangka bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menstruktur semula ekonomi negara secara holistik.

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa RMK13 merupakan kesinambungan usaha kerajaan sejak dua tahun lalu.

Ia juga menetapkan hala tuju pembangunan berteraskan keadilan sosial dan daya saing ekonomi.

“Pendekatan Kerajaan MADANI yang berasaskan data dalam merangka dasar seperti yang diterapkan dalam RMK13 adalah satu anjakan penting ke arah tadbir urus yang lebih telus dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ menekankan tiga dimensi utama sebagai teras pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Dimensi tersebut merangkumi pencapaian ekonomi berpendapatan tinggi dan mampan, kehidupan bermutu serta inklusif, dan pemeliharaan alam sekitar lestari.

BBC turut menghargai usaha kerajaan dalam menangani jurang ketidaksamarataan antara bandar dan luar bandar.

Selain itu, pelaksanaan RMK13 diharap dapat memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Sebagai penyokong kerajaan di Dewan Rakyat, BBC berikrar untuk memantau pelaksanaan RMK13 agar ia kekal selari dengan matlamat asal.

“BBC yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia kekal berada di landasan yang tepat untuk muncul bukan sahaja sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 tetapi juga sebagai masyarakat yang berjiwa insani dan menikmati kehidupan berkualiti,” katanya. – Bernama